Thursday, 22 February 2018

Buaya Cantik Sungai Linggi

REMBAU 22 Sept. - Kewujudan buaya di Sungai Linggi dekat sini sering dianggap mitos bagi kebanyakan orang yang tidak pernah merasai pengalaman memancing di sungai berkenaan.
Namun hasil tinjauan Utusan Malaysia ke lombong terbiar bersebelahan sungai itu baru-baru ini telah merungkai segala misteri terhadap kewujudan reptilia itu.
Setelah hampir sejam menunggu, kelibat seekor buaya betina sepanjang kira-kira enam meter timbul di permukaan air.
Seorang kaki pancing, Hisham Mohd. Saat, 41, memberitahu, buaya itu diberi nama 'Cantik' oleh penduduk setempat yang telah biasa memancing di kawasan lombong tersebut.
Katanya, haiwan itu tidak mengganggu orang yang memancing selagi ia tidak diganggu.
"Biasanya buaya itu timbul di tebing sungai pada waktu petang untuk menghirup udara segar.
"Jika memancing pada waktu malam, kita boleh mengesannya dengan menggunakan lampu suluh. Kita akan nampak pantulan cahaya daripada matanya yang berwarna merah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambahnya, buaya banyak kelihatan di lombong itu berbanding di sungai kerana faktor kedalaman dasar lombong berkenaan serta kawasannya yang luas.
Menurut Hisham yang berpengalaman dalam selok belok Sungai Linggi, kehadiran buaya pada waktu malam boleh dikesan daripada baunya yang sangat hamis.
Katanya, kawasan sungai itu popular dalam kalangan kaki pancing terutamanya para penggemar udang galah walaupun menyedari risiko terserempak dengan buaya kerana udang gemar berpaut di bawah perut buaya.
"Udang yang terdapat di sungai ini mampu mencapai berat sekilogram untuk enam ekor serta sepitnya mampu mencapai panjang seperti lengan manusia. Antara udang yang terdapat di sini ialah kapit biru, kapit kuning serta galah.
"Selain udang terdapat juga spesies ikan yang boleh ditemui antaranya sembilang Afrika, patin, tilapia, baung, haruan tutu, belida, siakap dan lundu," katanya.
Beliau berkata, Sungai Linggi merupakan kawasan pertembungan air masin dan air tawar dan ia dapat dibuktikan kerana terdapatnya ikan laut seperti ikan todak, buntal dan siakap.
Selain itu, katanya, fenomena ikan mabuk juga merupakan satu faktor buaya serta segala hidupan dalam sungai itu naik ke permukaan kerana hujan lumpur yang mengalir dari arah Seremban menyebabkan perolakan berlaku di dasar sungai.
Menurutnya, ketika itu tangkapan akan menjadi lumayan kerana ikan serta udang naik dengan banyaknya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_22/Sang-buaya-Cantik-di-Sungai-Linggi#ixzz57taJLw00 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Di sini segalanya tercipta...

Deras air yang mengalir lewat sungaimu di kuala menanti Selat Melaka pernah menyaksikan perang dan darah pernah menadah tubuh-tubuh k...